Sri Menanti, 15 Januari | 21Safar – Pusat KALAM telah dijemput oleh pihak Muzium Diraja Negeri Sembilan untuk membuat pameran mengenai rumah-rumah tradisional Negeri Sembilan yang telah terlibat dalam Kajian Lukisan Terukur sempena Hari Keputeraan DYMM Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan , Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ke-64 .

Pameran yang dijalankan selama dua hari bermula pada hari Sabtu, 14 Januari (20 Safar) sehingga Ahad 15 Januari (21 Safar) melihat pelbagai golongan masyarakat mengunjungi pameran rumah-rumah tradisional sekitar kawasan Sri Menanti yang pernah kaji oleh pelajar-pelajar senibina pada tahun 2006 sehingga 2008. Poster-poster dan model rumah hasil para pelajar telah diteliti oleh ramai kanak-kanak, remaja dan dewasa dari pelbagai kaum dan juga bangsa.

Keberangkatan DYMM Yang di- Pertuan Besar Negeri Sembilan , Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, mencemar duli ke tapak pameran telah memberi peluang kepada Pusat KALAM untuk menerangkan kepentingan rumah-rumah tradisi Negeri Sembilan sebagai identiti negeri darul Khusus ini.

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz juga menyatakan keperihatinan Baginda terhadap rumah-rumah tradisi yang semakin luput dimamah zaman. Antara rumah yang mempunyai nilai yang besar adalah Rumah Tukang Kahar, iaitu rumah tukang yang membina Istana lama Sri Menanti.